FEBRUARI 2024

Sarawak Sedia Bantuan Rawatan Kesihatan Kepada Warga Emas


Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata dasar baharu itu akan dilaksanakan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak menerusi Kenyalang Gold Card (KGC).

“Kita menyediakan bantuan sosial kepada rakyat dari lahir hingga meninggal dunia.

“Kalau lahir dapat RM1,000 dan kalau meninggal dunia dapat RM3,000 tetapi ramai mengatakan kalau sudah meninggal dunia macam mana hendak terima bantuan RM3,000 itu.

“Jadi kita tampil dengan dasar baharu dengan rawatan perubatan akan ditanggung oleh Kerajaan Sarawak kepada mereka yang berusia 60 tahun ke atas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Hari Perkhidmatan Awam 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan.

Menjelas lanjut, Abang Johari berkata dasar Kerajaan Sarawak kini tidak hanya menumpu kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) tetapi ke arah menyediakan kehidupan berkualiti kepada rakyat.

“Perspektif melangkaui SDG ialah kualiti hidup rakyat, sebab itu Kerajaan Sarawak sekarang menumpukan peruntukan kepada pembangunan infrastruktur luar bandar termasuk bekalan elektrik, bekalan air, jalan raya dan pembangunan ekonomi termasuk pertanian,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari menegaskan agar semua penjawat awam sentiasa peka dan arif dengan undang-undang baharu yang dilaksanakan kerajaan, dengan tujuannya adalah untuk rakyat.

Menjelas lanjut, beliau berkata umpamanya undang-undang siber, ia mesti difahami oleh penjawat awam kerana sekarang banyak jenayah siber berlaku terutamanya ‘scammer’.

Selain itu, katanya adalah undang-undang pemerdagangan manusia, dengan ramai khususnya anak Sarawak menjadi mangsa sindiket itu di luar negara seperti Kemboja, Myanmar bahkan di Peru.

“Sebab itu kita mesti tahu undang-undang ini supaya kita mendapat kaedah bagi mengesan penjenayah dan mencegahnya sebelum ia berlaku,” katanya.